Press Releases

12 negara nyata hasrat contohi modul Tabung Haji

on .

ARKIB : 03/07/2014

MEKAH 2 Julai - Sebanyak 12 negara menyatakan hasrat mencontohi modul pengurusan Tabung Haji (Tabung Haji) dalam aspek dana dan latihan kepada jemaah yang bakal menunaikan ibadah umrah dan haji.

Pengerusi TaHa Alam Sdn. Bhd., Tan Sri Hashim Meon berkata, negara itu termasuklah Maldives, Senegal, Nigeria Filipina, Australia, Kazakhstan dan Tatarstan.

"Selama 50 tahun dalam pengurusan ibadah umrah dan haji, Tabung Haji sering mendapat maklum balas positif daripada negara luar untuk mengguna pakai modul dan sistem kendalian kita dalam menguruskan ibadah umrah dan haji.

"Setakat ini, sebanyak 12 negara telah menyatakan hasrat mencontohi modul tersebut dan TaHa Alam kini dalam peringkat perbincangan serius dengan Filipina, Tatarstan dan Maldives," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TaHa Alam, Nik Joharris Nik Ahmad.

TaHa Alam merupakan syarikat usahasama global antara Tabung Haji, thetaedge Berhad dan anak syarikat Bank Pembangunan Islam (IDB), Islamic Corporation For The Development Of The Private Sector (ICD) yang ditubuhkan pada tahun 2012.

Tabung Haji yang juga merupakan institusi kewangan Islam utama di Malaysia disokong oleh dana sebanyak RM48 bilion dan 8.4 juta penyimpan.

Sementara itu, Hashim berkata, untuk tempoh jangka pendek, pihaknya menawarkan tiga aspek perkhidmatan iaitu perundingan, latihan dan pengurusan dana serta logistik jemaah haji kepada negara yang berminat.

Katanya, pada masa ini pihaknya memberi tumpuan kepada 56 negara Islam yang menganggotai IDB.

"Sistem ini akan memberi manfaat kepada jemaah pada masa akan datang seperti lebih menjimatkan kos dan memberi kemudahan kepada mereka melaksanakan ibadah di tanah suci.

"Dalam jangka panjang pula, TaHa Alam berharap dapat membantu mewujudkan organisasi pengurusan haji yang sama seperti Tabung Haji di negara Islam berkenaan," katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140703/dn_12/12-negara-nyata-hasrat-contohi-modul-Tabung-Haji#ixzz3ckwmoti7
© Utusan Melayu (M) Bhd

green shareholders bottom